April 17, 2012

MUQADDIMAH | "Di alam Mantera inilah, gagasan itu bermula dengan semangat dan kalimat."


“Love what you do, do what you love”
- Ray Bradbury

Masih tersemat dan kuat teringat lagi akan kata-kata yang dizahirkan oleh seorang penulis pulp-fiction terkenal suatu masa dahulu ketika aku sedang serius menonton sebuah dokumentari mengenai diri beliau itu. Ironiknya, ramai pengkarya-pengkarya dan kreator-kreator di luar sana yang berjiwa kental dan berhati waja sudah tentunya telah lama memegang prinsipal sepertimana tertera. Tiada prasyarat dan tiada agenda tersembunyi. Bukan untuk wang, harta mahupun nama semata-mata. Cuma berkarya ‘for the sake of’ ingin berkarya. Hanya mahu jadi ‘true’ dan ‘real’ tanpa sebarang gangguan dan kacau-bilau yang tidak perlu. Kadangkala (atau selalunya), manusia termasuklah golongan pengkarya biasa dan kreator marhaenis terlalu menitik-beratkan faktor klinikal seperti ekonomi dan survival sosial. Mereka terlalu kuat memegang doktrin kapitalis seperti gaji, bonus, elaun, komisyen dan sebagainya. Walhal sekiranya kita percaya pada prospek bakat sendiri dan potensi kebolehan kita yang sejati, kita boleh menandingi malah menakluk hierarki tertinggi kehidupan kita dalam mengecapi kepuasan berkarya secara total.

Hidup di zaman moden ini nampaknya agak mustahil untuk mengecapi kepuasan material yang diperjelaskan tadi. Kerana sudah terang lagi nyata bahawasanya wang, harta, nama dan kepentingan-kepentingan lain yang terwujud adalah sangat ‘essential’ untuk mana-mana pengkarya atau kreator maju dalam kerjaya mereka. Tetapi untuk individu yang sudah melalui fasa hidup dari mustahil ke tidak mustahil, dari tidak mustahil ke sangat-sangat realistik, ianya masih menjadi pegangan hidup buat aku untuk terus membuat kerja yang aku suka dan suka membuat kerja yang aku suka itu pada bila-bila masa atau untuk siapa-siapa juga (dengan atau tanpa syarat tertentu). Aku sudah, masih dan tetap lagi ingin menemukan pengalaman-pengalaman baru. Bukan sahaja untuk kerja-kerja yang aku lakukan sehari-harian tapi untuk pengisian matlamat hidup aku.

Kerana aku percaya pengalaman dan pengisian matlamat hidup adalah sumber kebahagiaan yang sebenar-benarnya dalam apa sahaja yang kita hajati di dunia ini. "For it is not the destination that matter. It is the journey", bak kata sarjana pujangga.

Oleh kerana itu, aku rasakan sudah sampai masanya untuk aku berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada sesiapa sahaja yang hendak dan mahu memanfaatkannya seadanya. Dalam seluruh lapangan dan bidang yang aku suka, yang aku minat dan yang aku cinta: KOMIK. FILEM. BOLASEPAK (interestingly enough, aku rasa ketiga-tiga subjek ini mempunyai pertalian sinergetik yang sangat kuat lagi utuh. Baik dari aspek kreatif mahupun sudut selari dengannya). Katakan sahaja ia adalah sebuah "a childhood obsession that becomes a lasting adult passion" yang tidak pernah kunjung hilang dari dalam darah daging. Aku tidak mahu menunggu masa tua atau waku-waktu yang hujung untuk menulis tentangnya. Bagi aku masa yang terbaik adalah sekarang kerana sekarang adalah masa yang paling tepat sekali.

Aku berniat mahu menulis dalam ruangan ini kerana 7 faktor/punca/ sebab yang berikut:

  1. Adalah penting untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan supaya ianya dapat dimanfaatkan bersama demi pedoman kerja dan kelahiran karya mendatang
  2. Supaya mereka-mereka yang terlibat dalam lapangan, jurusan, bidang dan fahaman yang sama dengan aku dapat tahu apa yang sedang berlaku pada sudut pandang dan sisi perspektif yang berbeza ataupun yang sama
  3. Memberi kesedaran dan teguran terbuka/tertutup untuk kesilapan dan kesalahan menurut apa yang aku lihat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan aku tadi
  4. Bertukar-tukar teori metaforikal, analogikal dan substantial mengenai karya kreatif yang telah, sudah dan sedang diusahakan tanpa unsur kritikal dan komentari provokasi yang sadis
  5. Menggerak elemen motivasi dan semangat kepada pengkarya-pengkarya baru (dan mungkin lama) mengenai dunia kreatif yang punya prospek besar tidak kira secara lokal ataupun global menerusi aspek kognitif yang kondusif
  6. Mewujudkan kesepaduan jiwa dan batin bahawa kita semua punya potensi untuk mengubah dunia dan merubah ketidakbetulan dan kebetulan kepada ketentuan serta takdir ciptaan karya kita sendiri
  7. Percaya pada apa bentuk karya dan hasil kreatif yang kita hasilkan adalah unik dan mempunyai nilai istimewanya untuk setiap mereka yang tahu, mahu dan layak untuk menilai pada tempatnya yang betul

Maka, mulai sekarang aku akan menulis tentang kita melalui pengalaman dan pengetahuan yang telah diperolehi selama ini dan yang akan aku perolehi tidak lama lagi. Tentang apa yang kita tulis atau lukis, tentang apa yang kita mahu buat dan akan lakukan, tentang teorikal dan praktikal, tentang dunia dan semesta yang seluas-luasnya untuk kita temukan inspirasi dan ilham daripadanya. Masa tidak banyak untuk yang tahu menghargainya kerana terlalu banyak waktu telah dipersiakan hanya untuk berundur dan berlengah-lengah menginjak ke belakang. Walhal untuk kita ke depan itu terlalu luas ruang dan peluang yang terbentang jalan hamparan. Perguruan aku mengajar aku untuk serap seberapa banyak mungkin kesilapan dan kesalahan yang ada dan terus belajar daripadanya untuk jadi lebih baik dan yang terbaik. Kerana dengan kesilapan dan kesalahan itu tadi, kita dapat mengetahui dan membuat muhasabah kelemahan-kelemahan yang wujud dalam diri kita selama ini. Mengaku apa yang kurang serta dangkal, lantas perbaikinya sedikit demi sedikit hingga lengkap mental dan fizikal menempuhi medan juang. Itu antara prinsip menghadapi ujian dan cubaan dalam berkarya untuk setiap di antara kita semua.

Ketibaan aku ke persimpangan yang sangat berliku ini membuatkan aku jadi begini.

Aku tidak mahu tunggu sahaja.

Aku tidak mahu tangguh sahaja.

Aku tidak mahu terima dan ambil sahaja.

Aku mahu kuatkan diri lagi dan menjemput pembaca pojokan ini, yang mana aku yakin tergolong dalam lingkungan pengkarya agung dan kreator hebat untuk langsung membuka pencak dan menghunus segala swadaya sendiri demi membuktikan yang hak adalah hak dan yang betul adalah betul mengikut jurus-jurus kekuatan kita.

Di alam Mantera inilah gagasan itu bermula.


Masa untuk Manteraworks melangkah masuk dan buktikan segala kata

FM